Sunday 31 December 2023

RESOLUSI 2023


Sumalayang Estate

Perjalanan dari Bandar Tenggara ke Pekan Parit Raja, melalui pekan baru dan kampung tersusun, dipayungi langit cerah dan lambaian kelapa sawit membuatkan memori 2023 menerawang. Terlalu banyak benda yang berlaku pada tahun ini -benda yang tak pernah jangka akan berlaku dan berharap benda sama tak berlaku lagi.

Dihujung tahun ini, perlu banyak refleksi diri. Entah apa yang dicapai dan apa pula kebejatan yang dibuat. Semua adalah pengalaman. Hal baik perlu diteruskan manakala hal tak baik perlu dijadikan pedoman. Begitulah hidup.

Hidup, kalau sekadar bangun tidur, makan, kerja kemudian tidur semula, maka aku tak amanah kepada tujuan penciptaan diri. Bukankah Kita dilahirkan untuk jadi pemimpin dan khalifah? Inilah 2 perkara baru yang aku dapat masa zaman usrah 10 tahun lepas. Namun sayang, selepas 10 tahun, hanyut ditelan keindahan jahililyyah.

Bukan menyalahkan keadaan, tapi salahkan diri sendiri.

Mahu mencari sahabat, tapi masih angkuh. Mahu menjadi kawan, tapi masih bongkak. Mahu mencari teman tapi masih sombong. Maka hiduplah bersendirian. Ego itu buanglah jauh-jauh. Perasaan dan pemikiran liar hal - hal buruk boleh dibuang jauh jauh ke dalam longkang. Dah umur 30-an pun masih bersifat keanakan dan cepat sentap. Hiduplah, jika tidak mengikut usia maka ikutlah resmi padi. Semakin berisi semakin tunduk. Jadilah seperti ubi, semakin matang semakin berat. Bukan jadi lalang atau jadi kayu api.

Untuk tahun 2024, entah apa nak dicapai. Jika tak dirancang lalu berjalanlah ia dengan sia-sia
 Jika dirancang terlalu rigid maka cepat pula berputus asa. Maka jadilah fleksibel. Raikan setiap kejayaan kecil yang dilalui hari-hari. Perbaiki sahaja diri dan jangan terlalu mengikut kata orang lain. Jadi diri sendiri asal masih dalam lingkungan iman. Jangan jauh sangat terpesong, takut tak jumpa jalan balik. Raikan sahaja apa yang belaku dan perbetulkanlah solat. Bukankah solat adalah tiang agama?

Hidup, tahu tujuan, jaga solat, buat perancangan dan refleksi setiap hari.

 Hiduplah seperti manusia bukannya binatang atau objek ciptaan manusia. Hiduplah setiap hari untuk memperbaiki diri dan menyebar inspirasi. Belajar setiap hari.

Bukankah begitu?

Sumalayang estate, Ulu Belitung dan Lenggiu. 
Hidup masih jauh. Namun hidup dialam sana lagi panjang.
.
 Infiniti.

Saturday 31 December 2022

Resolusi 2022

Sejujurnya, aku tak tahu apa yang perlu diceritakan.
Jiwa ini masih sahaja berat, lelah dengan apa yang aku sendiri tak mampu fikirkan.
Acap kali, bila masuk tahun baru, bulan baru, hari baru aku mahu berubah secara total.
Ini termasuklah selepas perkahwinan, selepas anak pertama dan selepas berpindah unit, itulah kemahuan aku yang satu
'Aku masih mahu berubah'
'Berubah ke arah kebaikan.'

Tapi sampai bila aku mahu hipokrit, melaungkan (menulis) entri reformasi diri, sedangkan hanya aku sahaja yang tahu bertapa perubahan itu tiada.

Jika ada,terlalu sedikit.
Dan hal sedikit itupun masih tidak konsisten.

Bagai pisang berbuah dua kali. Bagai jatuh di lubang sama sahaja!

'Jangan macam itu, yakin sahajalah pada janji Allah. Allah sentiasa dekat. Allah itu Maha penerima taubat.'

Itulah ubat ampuh yang digenggam erat.
Mantra yang diulang-ulang entah buat berapa kali dalam hidup ini.
Tapi daripada lelah untuk  bertaubat, lelah lagi apabila berputus harap.

"Keyakinan kepada Tuhan itulah membuatkan kita reda dengan apa yang pernah berlaku."


Cukup-cukuplah aku pernah rasa putus asa satu ketika dahulu. Banyak hal baik yang aku pelajari dalam mengenal diri pada hari ini.
Bersyukur diberikan hidup kedua, untuk aku terus belajar menjadi hamba.

Hamba Allah, bukan hamba nafsu.

Tapi aku bersyukur, di akhir tahun 2022 ini, banyak hal baik yang aku sedar ketika sibuk kejar dunia; 'Kejarlah dunia sekuat mana, jika tidak disandarkan kepada Tuhan maka ia akan menjadi sia-sia. Tiada ganjaran pahala dan syurga...'

Menjadi manusia tidak mudah, kerana nafsu itu selalu sahaja mencengkam jiwa dan bawa kita ke arah perkara mazmumah. 
Walhal, nafsu itu bukan satu entiti dalam hidup manusia semata-mata. 
Kita masih ada akal untuk menimbal balik hal-hal yang menjadi igauan dan kemahuan. 
Nafsu itu pula hanyalah platform kepada syaitan untuk masuk ke dalam jiwa kita.

Jadi, kita masih punya harapan.
Harapan menjadi lebih baik dari semalam.
Maka, Kekanglah nafsu sebaik-baiknya.
Kerana Itulah yang kita panggil mujahadah, kawan!

Jika lelaki, selalu tundukkan pandangan.
Jaga aurat, jaga pergaulan.
Paling utama, jaga solat, jangan lalai!

 Semoga anak muda Melayu Islam hari ini dan mendatang masih berpegang teguh pada jati diri ketimuran dan moral seorang muslim sejati.

Moga tahun mendatang mendapat reda Tuhan.


Monday 8 November 2021

Satu Masa Dahulu

 

Satu masa dahulu...

“Baik fasi, kita ada tugas besar. Adik-adik baru akan mendaftar pada esok hari. Jangan lupa apa yang kita rancang selama ini.” Kata-kata penutup oleh Pengarah Training of Trainer untuk Minggu Orientasi Siswa 2014. Masing- masing mengangguk, bersemangat waja walaupun terpaksa melapor kem lebih awal. Tuan Maliki tersenyum lebar. Sudah tiba masanya untuk dia beraksi esok.

"Jangan dikenang kala engkau seorang

Jangan diingat kala engkau termenung
Mungkinkah hati rasa ragu dan bimbang 
Tiada siapa kan menolong..."

Sesi pagi itu berjalan lancar. Dari 500 nama yang terpilih, 482 yang hadir. Tuan Maliki sudah tercari-cari siapa ‘mangsanya’ kini. Rancangan rahsia ini adalah pakatan mereka berlima. Bukan kenakalan mencari wanita seperti sebelum ini, tapi kini dia mencari lelaki. Tiada ganjaran untuk pemenang, hanyalah kepuasan. Itulah yang dicarinya. Di mana dia akan bermula? ‘Masjid...’ Tuan Maliki tersenyum sendiri. Sinis.

Malam itu, bermulalah operasi rahsianya. Selesai Isyak, dia sudah berjaya mendapatkan tiga nama budak baru beserta nombor telefon. Cukuplah pengenalan ringkas. Esok akan lebih berat. Cabaran tanpa had masa itu membuatkan dia lebih yakin untuk menjadi juara.

“Lupakan sudah kisah yang telah lalu
Jangan diikut kata hatimu sayang
Apalah guna duduk bersedih pilu
Cari hiburan sambil berdendang”

“Amzar, hang orang Sungai Petani kan? Aku ada persoalan untuk hang. Apa tujuan hang hidup?” Soalan dari Tuan Maliki. Amzar hanya melayan perbualan tersebut. Dia sebagai budak baru hanya mengikut. Kadang-kadang soalan Tuan Maliki sedikit mencabar, namun kerana Tuan Maliki pandai menyusun kata, dia jadi tertarik. Sampai dia menunggu persoalan pada esok hari. Itulah bibit keakraban mereka.

“Hidup kita bukan untuk derita
Juga derita tidak selamanya
Jangan dibuang usia yang masih muda
Agar tak kesal di hari muka”

 

“18 suspek pembunuhan Pegawai Kadet Laut dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup!”

Keputusan hakim pada pagi itu mengejutkan Malaysia. Tuan Maliki hanya menarik nafas berat. Matanya menyorot sosok pelaku yang bergari, keluar dari mahkamah. Dengan suasana yang hiruk pikuk, matanya masih mampu menangkap sosok Amzar. Dia kehilangan kata. Lama dia berdiri di satu penjuru, jauh dari para wartawan.

“Ingat, hidup ini bukan suka-suka. Ada tujuan kenapa kita diciptakan. Boleh buka surah Al Baqarah ayat 31. Dari situ, jika kita benar-benar faham, maka kita kita akan boleh melalui kehidupan ini dengan jayanya. Tidak kira apa pun yang berlaku.” Itulah jawapan yang ditanyakan kepada Amzar tujuh tahun lalu.

Tuan Maliki segera beredar ke kereta. Dia mengharapkan Amzar mengingat kembali dialog ini. Biarlah jasadnya menerima hukuman apa yang (jika) dia pernah lakukan, namun dia harus sedar ini adalah teguran dari Tuhan. Semoga dia kesal dan insaf. Kekuatan untuk meneruskan hidup selepas hukuman berat ini pastinya lebih mencabar. Moga dia terus diberikan kekuatan.

“Dunia kita indah luas terbentang
Pilihlah satu jalan yang kau sukai
Asalkan imanmu tidak bergoncang
Semoga Tuhan akan memberkati”

Tuan Maliki berasa gagal. Gagal menjadi senior yang baik. Dia cuba menggunakan posisi seorang senior untuk mengajak junior mengenal islam dengan lebih dekat. Untuk sama-sama masuk syurga. Itulah pakatan mereka berlima tujuh tahun lalu. Ustaz selalu mengajar ‘Amal Makruf Nahi Munkar’, dan inilah yang cuba mereka praktikkan. Namun tidak sangka perjalanan hidup Amzar jauh lebih berliku.

“Asalkan imanmu tidak bergoncang
Semoga Tuhan akan memberkati…”

Jika dia yang tidak punyai pertalian darah pun sebegini kecewa, bagaimana pula dengan keluarga Amzar dan lain-lain. Cemuhan jiran dan warga maya. Tuan Maliki tersandar. Butang pendingin hawa dikuatkan untuk meredakan perasaan. Lagu ‘Hidup Bukan Untuk Derita nyanyian Ahmad Jais terpasang. Nafasnya kini ditarik perlahan-lahan cuba menghilangkan kekusutan.


Masa tidak mungkir boleh diundur. Namun apa yang ada, muhasabah dan gunakan masa yang ada sebaiknya. Itulah jawapan pengubat hati yang kecewa. 

‘Pasti ada jalan yang baik diakhirnya nanti…’

Thursday 10 June 2021

Koridor panjang

"Laju Jalan doktor?"
"Jap Kak nanti sembang. Nak hantar darah ABG."

Langkahnya kemas, bergegas ke ICU. Suara yang meyapa tadi tidak sempat ditoleh. Tong ais berisi darah pesakit dibawa cermat. Nasib pesakit ni sedikit sebanyak akan ditentukan oleh keputusan oksigen dalam darahnya sebentar lagi.

'Alamak, lactic acidosis. Potassium tinggi ni. Kena urgent dialyse.'

"Tuan, result patient saya dah hantar ke whatapps. Nampak macam perlu urgent dialysis. Nak proceed ke Tuan?" Nada sedikit cemas. Sabar menunggu respons dari MO oncall. 

"OK, proceed. Call  staf wad dan arrangekan dengan ICU. Tengah malam macam ni tak ada orang di HD Centre. Nanti ICU akan call HD Oncallers. I will be there in 10 minute."

Hectic. Malam tu tak terasa kaki. Dua orang staf nurse bertungkus lumus menolak pesakit dari wad ke ICU. Ditinggikan sedikit kepala pesakit agar selesa dengan bantuan oksigen menggunakan nasal prong. 

"Pakcik, tahan sikit. Lepas ni pakcik akan selesa sikit." Risau dan gusar. 

"Pakcik OK, doktor jangan takut." Dia masih tersenyum. Dadanya yang berombak dan nafas yang turun naik seperti tiada apa. Ketenangannya tidak menghilangkan kegusaran. 

Jam tiga pagi. Dia tersandar keletihan di kaunter wad. Melepaskan penat oncall berseorangan. Kepalanya ligat memikirkan situasi sebentar tadi. 

"Kak Tini..." 
"Kenapa doktor?" 

Suasana hening sementara. Hanya bunyi kipas lama berpusing menemani malam. Sekali sekala terdengar dengkuran pesakit yang sedang lena diulit mimpi. 

"Tadi ada orang sapa saya masa nak hantar darah ke ICU. Saya tak toleh, tapi bila difikirkan mana ada orang malam-malam macam ni."

"Ish doktor. Buat saya takut je..." 

Persoalan yang masih tiada jawapan. 

"Tak apa lah kak. Saya nak rest sekejap. Nanti pesakit dah hbis dialysis akak roger saya. Tak boleh nak fikir pula malam-malam macam ni." 




Mekyam dan mesin Dialisis

"Awak ni patut berhenti jadi doktor... " 
... 

Derap kakinya menghampiri katil ketiga dari pintu masuk. Diperlahankan langkah supaya elemen mengejut menjadi. Disuakan jari telunjuk ke tengah bibir, memberi isyarat kepada makcik di katil empat. Makcik itu mengangguk tanda faham. 

"Woih Mekyam. Tido je!" 

Sengaja buat kecoh. Makcik di katil sebelah kiri  pula menoleh dan tersenyum. Kemudian dia meneruskan rutin sambil menatap telefon.  Akak-akak nurse yang sibuk kehulu kehilir tidak mengendahkannya. Sedang bergilir-gilir menjamah sarapan di pantri. 

"Kau pe hal. Tak da kerja ke?" Lelapnya terganggu, kedua biji mata membulat semacam nampak hantu. Jelas kaget. 

"Haha. Ni lah kerja aku. Jaga HD lagi minggu ni."

Suasana bilik dialisis yang nyaman dan sungguh sejuk. Lebih sejuk dari freezer Toshiba di rumah. Badannya yang melidi dan hampir tiada penebat haba pasti akan tersiksa. Namun sejuk hari itu meredakan sedikit panas di hati.

"Kau lapar tak? Nak pisang?" Pertanyaan diikuti gelak jahat. 
"Kau memang tak guna kan." 

Mereka berdua anak Jawa, orang kampung YB Ahmad Maslan. Banyak makan nanas itu yang kasar cara gurauan. Bukan dia tak tahu pisang dan makanan tinggi potassium ni pantang untuk pesakit buah pinggang macam Mekyam. Lagi-lagi bila dah 'totally out' dan memerlukan rawatan dialisis untuk mencuci darah tiga kali seminggu. Memang sengaja cari pasal jika makan buah pisang. 

"Kau apsal lambat, baru habis 'ward round' ke?" 

"Jumpa pakar tadi..." Dia menjawab acuh tak acuh. Mata meliar di segenap penjuru bilik dialisis. Memastikan kesemua 13 pesakit sesi pagi itu cukup selesa menerima rawatan.

Mekyam ni penghuni setia Pusat Dialisis HAT. Umur muda sebaya, belajar satu kelas tapi Allah uji dengan penyakit sebegini.
Dia dah mulakan kerjaya sebagai houseman, sedangkan Mekyam masih lagi berkira-kira dengan masa depan yang tak tentu. 

'Tapi tu lah, kalau kau tengok sekali lalu ataupun terserempak Mekyam di Wangsa Walk Mall, dia ni macam bukan orang sakit. Happy go lucky. Lepak kedai hipster siap 'update' video TikTok lagi. Aha!'

"Weyh belikan aku nasi lemak, tak nak kacang. Aku lapar la." Permintaan Mekyam menghapuskan lamunan. 

"Mananya tak lapar. Dah dua jam kau pulun tido." 
"Eh kau ni...."

Belum sempat dia berkata 'ya' , mak cik disebelah pula menyapa, "Dokto, beli ke mok cik skali. Lambat pulop Besta hata makane hari ni." 

"Boleh saja Cik. Cik layan TikTok Mekyam dulu ya." Dia mengangguk seraya tersenyum. Senyuman yang paling manis. Entah tanpa dirancang jari jemarinya pula memberikan 'small heart' pada makcik tadi.

"Amboi, mok cik tak dok anak tino..." 

Kedua kakinya segera diseret ke pintu. Mood hari tu cuba dikawal sebaiknya. Cuba melupakan apa yang baru berlaku pagi tadi. Bibirnya diketap rapat. Hela yang berat di tarik dan dilepaskan perlahan-lahan.  

Dilajukan langkah ke Koperasi. Entah kenapa terasa begitu berat, terasa begitu jauh. 


Terngiang-ngiang di hujung telinga kata-kata pakar pagi tadi. Dengan suara yang perlahan dan nada cukup lembut, menjadikan ayat yang masuk ke telinganya  itu terasa sungguh sinis. Sungguh tajam hingga ke hati. Bak sembilu yang menyiat jari, bak pisau yang menghiris sehingga terluka. Namun belum cukup untuk menumpahkan air mata jantannya. 


'It's okay la. Mekyam tu sakit-sakit pun OK, kenapa aku yang baru' failed exam' dua kali rasa tak OK pula? Tambah dua bulan je lagi...' 

Di hujung  monolog itu, dia mengajuk ayat pakar tadi, kemudian menyeringai tertawa sendiri. Beberapa pasang mata memandangnya penuh kehairanan namun tidak diendah. Itulah cara dia menerima kenyataan. Kenyataan yang membuatnya kecewa dengan kehidupan. 

Wednesday 17 February 2021

Qu Puteh

Buku War and Medicine ditutup kuat, ditolak ke penjuru meja besi laju2..pening.
243 pages utk dibaca, demi merelisasikan kempen 'mahasiswa kene membaca'..
Tolak buku,tarik samsung note.
Ditenung lama2 screen note 8 nya, mmbaca satu2 butir ayat yang keluar dri papan pemuka whattapps..
Terbakar, jiwanya..bertambah hitam mukanya..
"Qu Puteh2.."

"Encik, kita jgn buang masa, sbb kita manusia yang tak ada masa!"
"Masa 24/7 tu mostly utk perkhidmatan, dlm jamban tu je masa kau ade"
" tu pon ko dudk secure satu hari, melaungkan reformasi #payattentiontoshiba

Hah!!

"Bro ko menulis menggunakan emosi"
Sbb aku manusia yg ada rasa..
" tapi cra kau menaip mengutamakn nafsu"
Sbb aku dikelilingi shaiton2
"Dan meluahkan rasa seperti keyboard warrior"
Sbb aku rasa semua org mcm tu, sibuk bercakap, tp x de makna. Sapa yg betul2 nk jd warrior of the nation?
Warrior of the deen? Warrior of the nafs?

Aku nk jd, tp tahap tu terlalu tinggi, tahap langit ke tujuh.thp moksha.

Impian kene tinggi, dare to dream high, ada planning,cri motivasi..
Brtindak guna iman, bkn nafsu atau akal semata..
Tarik nafas dalam2, biar alveoli tu expand n bring the fresh oxygen msuk lungs.
 Buka AlQuran dan baca surah alfussilat ayat 35 dan seterusnya..
Moga Allah beri kekuatan..

Tuesday 16 February 2021

Jalan terpanjang

"Bro,laju je air mata tu meluncur di pipi, apsal? Lacrimal gland da overloaded ke?"
"Putus chenta ke?"
"X macho la, malu je kalo si K nmpk"..
"Sedih sgt ke lagu Terbang Tinggi tu?"

Hah...jiwa berat, hati resah, fikiran melayang..

Sungguh, aku menangis ni bkn sbb awek, tp sbb aku bakal kehilngn org penting dlm hidupku..at least,hri2 aku..
"Sapa pula ni??"
"Entah, roomate bilik kot.."

Menangis sbb mereka gagal exam..FAIL-first attempt is learning. .
Menangis abb diorg x g masjid sama2 ngn aku..klo shine kasut mghrib2 seronok je..
Menangis sbb x kejut aku solat, sdgkn bnda tu yg Terutama selain anat,physio mahupon biochem..
Menangis sbb aku risk my life for nothing..
Menangis sbb aku rasa gagal..half a year kot.
Menangis sbb aku rasa hanya Allah tempat aku bergantung dan berharap..
Menangis sbb tu je aku rasa dekat dgn Dia..

"Bro, x yah nk touching2 sgt la.."
Kalo bole aku x nak..
Tapi...
"Aku touching sbb aku ni bakal disoal kelak, ditanya tntng amanah dan tanggungjwb.."
"Ditanya apa yg aku lakukan pd mereka.."
"X tahu nk jwb apa"...

Ahh..amanah itu berat, lagi berat dri kene hempap dgn gedegang tepi mess, coway di aras.
Tp itu la kita, manusia..amanah sbg khalifah..
Khalifah..pemimpin..diri sendiri dan orang sekeliling.
 
Moga akhirnya kalian akan mengerti..

Tuesday 5 November 2019

epilog 4


"Sesungguhnya berjayalah orang yang - setelah menerima peringatan itu - berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh),

-Sura Al-A'la, Ayah 14

....

" Tuan, doakan saya..."
"Kau boleh, sebab kau kuat!"

Cepat2 aku bingkas dari sejadah.
jam sudah 2001H. aku harus menyegerakan apa yang perlu diselesaikan sebelum kembali ke wad semula.
Call dari operator menyatakan ada satu admission NNJ sebelum maghrib tadi.
untung2 aku dah siap mandi dan makan; tak terkejar2 sangat.

"Saya terpaksa beritahu bakal tunang saya akan hal ini. saya tak nak simpan sendiri. Biarlah apa yang jadi saya terima akibatnya. Saya tahu dia kecewa sangat"

Mesej dari seorang junior yang aku kenal di universiti dahulu. lama tak dengar khabar selepas dia masuk ke unit di selatan negara, kini tiba tiba dia kembali contact aku semula.

"Insyaallah, kau doa yang baik3. Yang penting sekarang aku tak nak kau putus asa pada Rahmat Dia. Taubat sungguh2, doa Allah tunjukkan jalan"

Sedang ligat aku menyiapkan 'Bush Jacket' untuk temuduga CO esok hari, satu mesej masuk kedalam noti.
Sempat aku kerling sambil memasang apoulette dan nametag didada kiri.

"Ibu kecewa dengan saya. Hal ini dah menjadi semakin besar. Saya buntu tuan. Mohon tuan doakan saya".

huuhhh...
nafas berat dilepaskan. tapi tak setanding beratnya ujian dia.

"Saya tak ingat apa2. saya sedar saya tidur dengan dia. Kali ini dia ugut saya pula. Saya tak pasti jika ada video semasa saya mabuk. Kalaulah saya tahu tuan...."
" Ishh... jangan macam tu. Jangan kalau kalau. Yakin sahaja Allah sedang menarik kau kembali kepada Dia. Have faith buddy. Jangan kau kesal; cukuplah kau menyesal dan jangan ambil lagi benda tu."
" Baik tuan. saya benar2 menyesal.."

Entah, teringat mesej jr tu 3 hari lalu.
10 butang baju tu cepat2 aku disiapkan. Disematkan PPA pada dada kiri. Kini tinggal kasut untuk di'shine'. Fuh.. lega.

"Sejujurnya, aku tak tahu apa yang patut kau lakukan sekarang ni. Tapi yang penting kau muhasabah diri semula. Kau minta maaf pada ibu kau, pada bakal tunang kau. Kau doa banyak2. Aku dari sini pun hanya mampu doakan untuk kau. Apa2 jadi, jangan buat keputusan terburu2. Aku ada untuk kau minta nasihat. Aku akan bantu kau mana aku mampu. Kau boleh!"

Sungguh berat ujian anak muda ini. Jiwanya mentah, nafsunya bergelojak. Dengan sedikit pujukan syaitan, dia sudah tergelincir. Untung2 sahaja Allah masih mahu berikan dia jalan keluar.

"Maha Pemurahnya Allah, dia bagi kau rasa macam2, tapi Maha Penyayangnya Allah, Dia tarik kau kembali. Bersyukurlah!'

Telefon berbunyi mematikan lamunan dan tangan yang ligat bekerja. Argh, sudah Isyak. Mudah3an dengan menjaga solat diawal waktu Allah jagakan kau dan aku sahabat.

"Moga kau baik2 sahaja,Zaid."

epilog 1

Entah; sejujurnya aku hanya mampu menggeleng kepala; aku buntu.

jam 1222H
meehoon goreng sarapan tadi baru dibuka.
aroma sambal ikan bilis semerbak dalam pantry kecil itu.
ditenung lama mee yang sudah layu; bukan kerana rupanya, tapi lebih kepada gelojak hati sekarang.

"Tn, tuan tak boleh berdiam diri. Tuan kena tolang Maji. Tuan je tahu rahsia ni!"

Allahu; dikuis kuis mee dalam polistrin. dialih  taugeh dan batang sawi. lama berbuat demikian baru disuap sesudu mee.

"Apa yang aku boleh buat? Aku tak jumpa dia lagi. Kalau Ilman tahu aku tahu benda ni, dia akan lari dari aku.."

Entah, itulah perasaan aku dahulu.
Buntu. aku bukan baik mana. aku pun ada aib aku nak tutup.
tapi bila orang berkongsi rasa mahukan pertolongan, nak tak nak aku kena bagi.
sebab aku rasa ini tanggungjawab.

Tapi asbab cerita itu, aku tekad pulang ke kem dari Kolej Perkhidmatan.
Aku sengaja jumpa Iman, ajak dia lepak dalam bilik aku.
With a good timing, aku sengaja peluk dia. Dia pelik tapi dia biarkan.
Waktu yang singkat namun aku rasakan lama.
Aku benar2 dapat rasakan getaran debaran dia.

Meehoon dikuis lagi. kali ini diasingkan ikan bilis dan lada kering yang tidak lunar pula.
Buntu. keadaan yang sama; dan aku masih buntu.

"Iman, aku tahu apa yang terjadi pada kau dan Maj. Dia dah cerita dari awal sampai akhir. Dari cerita masa first time kau datang rumah dia sampai dia cari kau masa dekat Kolej Perkhidmatan hari tu.
Aku harap kau tak marah aku.

Jeda lima saat. Aku rasakan getaran dadanya terhenti seketika.

Hari ni aku sengaja datang jumpa kau supaya aku tahu perkara sebenar, supaya aku dengar cerita dari dua pihak. Aku tak salahkan kau dalam hal ini; dan aku akan cuba bntu kau slow2 tinggalkan perkara jelik ni.

Pelukan masih erat. Dia tidak berganjak. Kini aku rasakan ada titisan panas di bahu kiri aku. lama dan semakin basah.

"Its okay buddy..Aku dah anggap kau macam adik aku sendiri. Aku tak patut biarkan kau keseorangan..."

Junior 3 tahun bawah dibiarkan dalam keadaan bungkam seperti itu. Dia mungkin sedang merefleksi apa yg aku katakan. Mungkin dia sedang mencerna apa yang sedang berlaku sekarang ini. Aku biarkan dia dalam dunia dia...

"Doktor, makan tak habis lagi? Rindu awek la tu..."
Aku tersentak dari lamunan. Kak mimi PPK sedang menolak masuk tray makan pesakit ke dalam pantry.
aku hanya gelak kecil.
" Tak de la kak, ni ha tengah asingkan sambal. Saya kan tak makan pedas, tapi kakak kafe terletak banyak pula.." berdalih dengan hal yang betul.

sesudu lagi meehoon disuap.

Alhamdulillah, kini Maji atau nama sebenarnya Najihah Medina dan Ilman pun dah membawa haluan masing2. Ilman pun dah insaf dan dah minta maaf pada pada Maji sekeluarga. Walaupun Maji ambil masa untuk maafkan, akhirnya dia lepaskan Ilman. Aib itu kekal rahsia antara diorang dan aku. Laporan polis ditarik balik. Entah.  Pelik bagaimana perkara ni selesai, tapi benarlah Allah ada jalan dia. Jalan2 kebaikan yang masih dirahsiakan.

"Eh man, sombong!"
" Eh takde la tuan, saya baru habis kursus pegawai logistik ni. Lupa pula tuan posting PD.
"Lain kali datang roger. Senyap2 dah kahwin. Syukurlah. BTW tahniah dengar menang qari hari tu."
"Alhamdulillah, terima kasih tuan. Ana musytaqun alaikh"

Lamunan aku kini beralih pada cerita semalam. Tak sangka dan aku masih terpana.Mohd Ilman Alimin kini pegawai Kor Agama. Biarlah Cerita lama itu kekal rahsia.  Itulah pengajaran. Benarlah Allah menguji iman seseorang mengikut tahap ketaqwaan dia.

Eh kejap, cerita Ilmaan ni lebih kuranag cerita Zaid. Pasti ada sebab aku jumpa Ilman semalam, mungkin dia boleh bantu Zaid!

Ya Allah!

Laju2 dihabiskan meehoon. Azan dari Surau Poliklinik pun dah berkumandang. Selesai solat, aku kena jumpa Ilman. Aku kena jumpa dia.

" Kak mimi; saya gerak dulu. dah azan tu..."
" Baik dokter. Air kotak tu bawa sekali!"
" Tak apa, kak Mimi ambil tau. sedap tu!"

laju. kencang dadaku semakin laju sama seperti derap langkah.
Ilman, Zaid, dan banyak lagi rahsia yang Allah bagi aku. Baru aku sedar kenapa sebegini aku rasa dahulu.

Syukur!
"Wa ana Ilman!"

Saturday 19 January 2019

Aku Melayu di Kuali Ice

Suasana Kuali Ice Kafe terlalu hiruk pikuk.
Bunyi televisyen, budak menjerit, loceng pesanan membingitkan keadaan.
Konsentrasi pada Kitab Tamadun Melayu nampaknya semakin memudar, sepudar bangganya bangsa Melayu pada jati diri sendiri.
Lamunan dan khayalan nampaknya lebih mendominasi dari imaginasi hebatnya bangsaku seperti penceritaan dalam kitab ini.
Dialih tab ke apps facebook. Mencari sesuatu yang lebih santai.

"Jika kita pilih Bahagia/Gembira pada esok hari.. Kita tetap hidup untuk sehari...

Jika kita pilih Kecewa/tidak Gembira esok hari.. Kita tetap hidup untuk sehari..."

Tulisan Ninja Berkain Pelikat menarik perhatian. Sahabat yang kini dalam fasa latihan hutan nampaknya sempat beronline.
Untung hutan di Johor pun dah 4G.

"Begitulah kehidupan.."

Mengangguk setuju sendiri. Member Cina dihadapan masih leka dengan PUBG. Sendiri bersorak, sendiri marah marah.
Seronok bila ada masa lapang macam ni. Kalau tidak; sibuk dengan dunia di hospital.

"Manglu de shenghuo!"

"Kita yang pilih untuk meneruskan samada untuk gembira atau tidak. Hari ke hari akan berjalan sehingga akhir..."

Tarik nafas dalam dalam.
Aroma chicken chop dan kuah black papper.
Ditutup mata untuk menghayati indahnya kehidupan.
Bersyukur masih lagi diberikan nyawa untuk menangisi dosa dosa lalu dan cuba menjadi Muslim yang lebih baik.
Diberikan kesempatan untuk menikmati segala nikmat dunia.
Kesyukuran dan keindahan yang pernah aku bencikan satu ketika dahulu.

"Alhamdulillah untuk hari ini....."

Kisah lama berputar semula.
Cerita pedih dan sengsara.
Ditarik nafas dalam dalam dan dilepas berat. Biar memori lama tak menghantui kehidupan.

"Orang gelisah kerana mengharapkan yang baru, sedang dia lupa  kekayaan sedia ada"-Hamka.

"Encik, ini Dark Choclate Ice Blended dan Cendol Pulut.."

Lamunan mati. Waitress berbaju hitam dihadapan sambil menghidang minuman yang dipesan.

"Terima kasih", dan dia berlalu pergi.

Suasana masih sama; hiruk pikuk manusia yang sedang menikmati nikmat sisa sisa kehidupan
Hidup berkeluarga, punyai anak2, punyai kewangan, nikmat kesihatan, deria rasa..."

"Aku bersyukur dengan apa yang Kau bagi.
Aku redha dengan apa yang Kau aturkan.
Terima kasih Tuhan.."

"Dah Joel, he yenliao xendol"

Dan ice blanded  malam itu dihirup dengan rasa penuh bahagia.
Rasa syukur.
Bahagia menjadi manusia.
Bahagia menjadi HambaNya.

Alangkah bahagia jika bangsaku, Muslim ini benar benar merasai apa sebenarnya hikmah kehidupan!

Friday 18 January 2019

MRI dan Filem Kehidupan

"Bagi filem MRI dia yang latest", satu arahan dari hujung conversation whatapps.
Segera diselongkar trolley round. Nampaknya report tadi tidak memuaskan hati boss. Iyalah, spine specialist.

"Kesian pesakit ni. Dah tak boleh control kencing and BO"
" Itulah dr, dia cuma ada history jatuh 2 kali. Tapi teruk sampai macam ni. Tak tengok lagi keadaan dia sekarang".

Aku hanya mengangguk setuju. Tangan ligat menyusun filem MRI mengikut aturan sebelum di snap untuk dihantar pada bos.

"Benarlah, hidup ini ujian. Dan ujian adalah mengikut kemampuan hambaNya".

Lama aku perhati dia. Dia menangis sendiri. Tapi itulah symptoms depression yabg dia sedang alami. Simptom sehampir sama yang aku pernah rasa dulu.

"Eh kau lek la, aku medical student boleh je, kenapa kau tak boleh?"
Encourgement words dari roomate. Kata katanya cukup positif, tapi masa tu penerimaan aku sangat lah contradict. Aku menganggap itu satu penghinaan dan merendah rendahkan aku. Akhirnya aku sendiri yang merana.

"Kau jangan tinggal dia sorang sorang dekat bilik, kan nanti dia terjun". Pesanan roomate yang sempat aku tangkap.

Arghhh memori lama. Cerita 2 tahun sudah.

Aku harus mengambil iktibar.

Empati ini yang aku bisa rasai. Keadaan rasa keseorangan dalam kesakitan yang tiada siapa memahami. Rasa menyendiri yang selalu mengajak untuk rasai mati.

Astagfirllah, istighfar banyak banyak.
Segera dipercepatkan urusan kerja. Ditutup fail patient dan disimpan.

Mudah mudahan patient ini peroleh kebaikan atas kesabaran, diberikan kemudahan dan kesihatan.

Nikmat merasai kehidupan-inilah yang aku syukuri setiap hari. Hingga  tibanya hari  kematian.

"Dr, normal ke spinal cord ends at L1?".
"Normal, selalunya end dkt level L1-L2, sebab itu kita buat lumbar puncture L3-L5, tak nak terpuncture spinal cord". Lamunan terhenti dengan pertanyaan staf nurse.

Pesakit PID dibahagian L4L5, L5S1 itu sesekali mengerang kesakitan. Sakit fizikal dan emosi. Sedang bertarung dengan ujian.

Moga terus tabah.

Dan kami masih disitu, ligat bekerja-kerna itulah amanah.  Amanah kehidupan.

RESOLUSI 2023

Sumalayang Estate Perjalanan dari Bandar Tenggara ke Pekan Parit Raja, melalui pekan baru dan kampung tersusun, dipayungi langit cerah dan l...